

Apa Itu Konservatisme Agama
Istilah konservatisme agama bermaksud kecenderungan untuk memelihara dan mempertahankan sesuatu yang dianggap sebagai sebahagian daripada cara hidup atau identiti agama yang terancam atau terhakis kerana perubahan masa, ketidakpedulian ataupun pertuturan dan pergaulan.
Konservatisme agama juga sering terkait dengan pemahaman agama yang harfiah, tegar dan eksklusivis. Ianya wujud di dalam politik, hubungan sosial mahupun kehidupan seharian secara individu atau berkelompok.
Mengapa ia muncul?
Banyak faktor yang memunculkan konservatisme agama di dalam masyarakat Melayu. Ianya bermula daripada pertembungan antara tradisi lama dan arús modernisasi semenjak abad ke-20. Dengan masyarakat yang semakin majmuk dan kesan daripada penjajahan Barat, aliran konservatif muncul untuk mempertahankan identiti kemelayuan serta keislaman.
Faktor pertarungan politik setelah rusuhan kaum 1969, konflik global di dunia Islam, kemunculan gerakan-gerakan dakwah pada era kebangkitan Islam tahun 1970an, dan berkembangnya kelas menengah yang berlandaskan identiti jenama dan konsumsi, turut memperkuatkan konservatisme di dalam corak beragama.
Apa yang boleh kita lakukan?
Melawan arus konservatisme agama memerlukan proses yang panjang dan terus-menerus, serta jaringan yang saling mendukung nilai-nilai progresif.
Ini boleh dilakukan melalui pendidikan yang mengajarkan sejarah dan pemikiran Islam yang beragam, rencam dan saling berkontestasi. Orientasi agama yang terbuka, toleran dan damai juga harus dipupuk di dalam masyarakat. Pada masa yang sama, kita boleh menguatkan pemikiran kritis yang dapat mengenalpasti penyalahgunaan agama untuk kepentingan politik serta sikap terlalu mengagung-agungkan golongan agamawan sehingga tidak dapat disentuh apabila melakukan kesilapan dan kerosakan.
​
​
